Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu
seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.
Kebanyakan kaum-kaum Dayak ini masih tinggal di rumah-rumah panjang dan
setengah-tengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung. Ada juga yang
sudah tinggal menetap di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara
hidup yang lain.
Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak adalah Pesta Dayak. Gawai
Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan
berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang
baru. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.
Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September 1964
apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di
Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah
pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke.
Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama
lebih kurang sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir
bulan Jun setiap tahun bagi masyarakat Dayak. Mereka mempunyai beberapa
upacara besar yang dijalankan di rumah panjang
dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua
pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara
penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung tikar.
Penanaman padi adalah aktiviti utama pada kehidupan orang Dayak sejak
dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas
tamatnya musim menuai padi, sudah tentunya kaum Dayak mempunyai banyak
beras. Jadi, sesuailah masanya untuk meraikan pesta-pesta tertentu yang
diperlukan.
Comments
Post a Comment