Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah perkampungan masyarakat Dusun di sebuah kampung. Di dalam kampung tersebut ada seorang lelaki yang sangat suka membohong. Di mana sahaja dia berada, dia sentiasa akan menipu orang sekelilingnya sehinggalah tiada seorang pun yang percaya kepadanya. Keadaan ini menyebabkan si pembohong tersebut digelar sebagai 'Logudut' dalam bahasa Dusun dan iada seoarangpun yang ingin menjadi sahabatnya.
Pada suatu hari, penduduk kampung tersebut telah mendapat hasil buruan seekor monyet. Penduduk kampung tersebut telah berkumpul beramai-ramai untuk meraikan jamuan makan malam tersebut. Walaubagaimanapun si Logudut tidak dijemput ke jamuan tersebut.
Sebelum jamuan tersebut diadakan mereka telah mempermain-mainkan monyet tersebut dengan memakaikan monyet tersebut pakaian pengantin wanita serta mengambil kucing peliharaan mereka sebagai pasangan kepada monyet tersebut. Kemudian, mereka bersorak- sorai sambil membuat satu pusingan seolah-olah mengadakan satu upacara perkahwinan antara kucing peliharaan mereka dengan monyet tersebut.
Setelah mereka penat berbuat demikian, mereka akhirnya menyembelih monyet tersebut sebagai hidangan makanan jamuan pada malam tersebut. Si Pembohong yang melihat kejadian tersebut berasa sangat terkejut kerana perbuatan itu merupakan satu perlakuan yang dilarang dalam adat tradisi masyarakat Kadazandusun iaitu memperlakuan perbuatan yang tidak baik terhadap binatang buruan serta haiwan peliharaan mereka.
Setelah menjelang malam, mereka yang terlibat untuk upacara 'jamuan perkahwinan' tersebut telahpun mabuk. Awan mula menutup kawasan tersebut serta hujan mula turun rintik-rintik. Namun, tiada seorangpun yang tahu akan perkara di luar tersebut. Air di sungai mula melimpah dan membanjiri kawasan perkampungan tersebut.
Si Logudut agak panik dengan keadaan tersebut kerana tidak ada seorangpun yang sedar akan perkara tersebut. Penduduk kampungnya masih sibuk bersuka ria sambil meminum minuman tradisi mereka. Apabila air mula menghanyutkan beberapa buah rumah, si Logudut telah pergi ke tempat masyarakat kampungnya itu untuk memaklumkan bahawa ada satu perkara yang tidak baik berlaku.
Namun, tidak ada seorang pun masyarakat kampungnya percaya dengan kata-kata si Logudut. Walaupun si Logudut berusaha untuk menerangkan kejadian sebenar namun mereka tetap mengatakan si Logudut hanya menipu mereka dan merosakkan majlis tersebut. Mereka turut menghalau si Logudut dari rumah tersebut dan mengunci rumah mereka agar si Logudut tidak menganggunya lagi.
Walaubagaimanapun, si Logudut hanya mampu membawa keluar seorang nenek yang juga merupakan seorang bomoh (bobolian) untuk melihat perkara yang sebenar.
Nenek tersebut sangat terkejut dengan kejadian tersebut kerana kawasan rumah mereka hampir ditenggelami air.
Nenek tersebut terus menceritakan hal sebenar kepada masyarakat tersebut namun masyarakat mapungnya seakan-akan berada dalam khayalan kerana masih dipengaruhi minuman arak tersebut.
Namun demikian, terdapat juga beberapa masyarakat di situ yang percaya dan keluar melihat kejadian sebenar. Namun, yang peliknya, air tersebut sebenarnya telahpun hampir menenggalami rumah tersebut iaitu tempat mereka mengadakan jamuan tersebut tetapi air tersebut tidak masuk ke dalam rumah mereka. Keadaan di dalam rumah masih stabil seperti biasa.
Mereka yang melihat kejadian terbut berusaha untuk menyelamatkan diri. Setelah banyak antara mereka yang sedar akan banjir besar tersebut, air tersebut akhirnya memecah masuk ke dalam rumah itu. Mereka akhirnya sedar dan percaya dengan kata-kata Si Logudut tersebut. Namun, keadaan yang tidak terkawal menyebabkan mereka tidak mampu diselamatkan lagi. Rumah tersebut ditenggelami air dan si Logudut bersama-sama dengan masyarakat yang terselamat hanya mampu melihat rumah itu ditenggalami air.
Pada keesokan paginya, air di kampung itu telah surut namun, kawasan rumah yang dijadikan tempat meraikan perjamuan tersebut telah membentuk satu aliran sungai yang besar.
Penduduk kampung cuba mencari mayat-mayat penduduk kampung yang lain namun yang lebih mengejutkan terlalu banyak buaya di dalam sungai tersebut. Nenek tersebut akhirnya melakukan upacara mencari penduduk kampung dan didapati bahawa Tuhan mereka sangat kesal dengan perbuatan penduduk kampung yang cuba mempermain-mainkan binatang peliharaan tersebut dan menjadikan mereka sebagai buaya.
Sehingga kini, masyarakat Kadazandusun adalah dilarang untuk mempermain-mainkan apa saja makhluk hidup di dunia ini.
Sumber : Cerita turun temurun
Comments
Post a Comment