Pada zaman dahulu tengkorak manusia juga dikaitkan dengan cerita " pengait " atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai " head hunter " satu panggilan kepada pemburu kepala manusia untuk dijadikan berian kahwin ataupun sebagai tanda kepahlawanan. Kesahihan cerita pengait ini sukar dipastikan kerana tidak ada bukti kukuh tentangnya, mungkinkah itu hanya sebagai lagenda ataupun cuma sebagai cerita di antara cerita-cerita penglipurlara semata-mata. Cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu kini kian tenggelam ditelan zaman, cerita " pengait " dan kisah-kisah pemburu kepala jarang kedengaran lagi di mana-mana di negeri ini. Cerita " Pengait " pada zaman dahulu telah diakui sebagai budaya kuno yang pernah diamalkan di oleh suku kaum Rungus walaupun tidak sehebat cerita kaum Murut di Sabah pada abad ke-16 hingga ke-17. Ramai yang percaya dengan sumber-sumber daripada cerita lisan itu yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, malah pada zaman moden inipun ada yang masih percaya dengan cerita pengambilan kepala manusia konon untuk tujuan membayar tebusan kepada penunggu di tempat diadakan pembangunan, terutama sekali jambatan.
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/10/485404/kisah-pengait-pemburu-kepala-perlu-dikaji-dibukukan
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/10/485404/kisah-pengait-pemburu-kepala-perlu-dikaji-dibukukan
AMALAN memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan di Borneo. Jika di Sarawak, kaum Iban, Kayan serta banyak lagi kaum pribuminya merupakan antara yang terkenal dengan tradisi tersebut suatu waktu dahulu. Satu tradisi yang mewarnai cerita perang perluasan wilayah mahupun atas nama tropi untuk menunjukkan kehebatan seorang lelaki di mata masyarakatnya. Hanya setelah kedatangan Brooke yang memerintah Sarawak ianya mampu dihentikan itupun hanya sekitar tahun 1920an ianya benar-benar terhapus sama sekali.
Itu merupakan cerita pemburu kepala di kalangan masyarakat di Sarawak dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Sabah juga turut pernah mengamalkan tradisi tersebut. Di Sabah ianya dikenali dengan pelbagai nama mengikut bahasa atau dialek masyarakatnya seperti Pengait atau Tonggorib bagi masyarakat Murut; Magarib bagi Lotud; Sagawi bagi Tobilung; Pandadau bagi Murut Nabai dan Maginggulu bagi Murut Delayan.
Kehebatan cerita si pemburu kepala dikalangan masyarakat Sarawak sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ianya mempunyai bukti-bukti yang jelas serta asas dokumen yang kukuh berdasarkan kejadian yang pernah berlaku lebih-lebih lagi sewaktu perang wilayah berlangsung satu ketika dahulu. Dan hal ini jauh berbeza dengan cerita tentang si pengait di Sabah kerana ianya masih lagi bersandarkan kepada cerita-cerita lisan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Walaupun begitu, jika kita menggodek bukti nyata pula sehingga sekarang masih ada tengkorak-tengkorak manusia yang disimpan di rumah-rumah tradisi masyarakat yang mengamalkannya suatu waktu dahulu. Masyarakat Murut sebagai contoh adalah antara kaum yang tersohor dengan amalan pengait atau tonggorib yang dikatakan telah diamalkan sekitar kurun ke-16 sehingga 18 masihi sebelum ianya lenyap sama sekali. Tidaklah diketahui sebab musabab amalan pengait ini terhenti di Sabah jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Sarawak mahupun Kalimantan. Ini kerana cukup jelas tradisi memburu kepala terhenti dek kerana peraturan atau undang-undang tegas dan keras oleh Dinasti Brooke mahupun Koloni Belanda bagi masyarakat di Kalimantan.
Jika di Sarawak mahupun Kalimantan, antara penyebab pemburuan kepala dilakukan mempunyai kaitan secara langsung dengan adat perkahwinan. Yang mana dikatakan suatu waktu dahulu seorang lelaki itu tidak akan dapat berkahwin selagi tidak menunjukkan kejantanannya dengan membawa pulang satu kepala manusia. Kepala manusia inilah nanti yang akan dijadikan berian atau hantaran kepada bakal isteri.
Di Sabah pula menurut fakta kajian menyatakan bahawa antara penyebab selain daripada persamaan seperti di Sarawak dan Kalimantan adalah adanya satu kepercayaan bahawasanya tengkorak manusia boleh membawa kebaikan serta limpahan rezeki ke atas hasil tanaman mereka seperti padi. Disebabkan itulah pemburuan kepala manusia itu perlu dan kebiasaannya mangsa-mangsa yang bercerai kepala daripada badan adalah terdiri daripada penduduk perkampungan lain yang kalah di dalam sengketa perang.
Bagi masyarakat Murut dahulukala, tengkorak-tengkorak manusia akan diletakkan di atas Tangkob. Tangkob ialah satu peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira tiga hingga empat kaki dan diperbuat daripada kulit kayu yang berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan padi. Bagi mengelak semangat padi yang disimpan itu diganggu oleh anasir-anasir yang tidak baik dan agar rezeki pemilik padi itu bertambah maka tengkorak manusia digantung dibahagian atas tangkob bersama-sama beberapa helai daun silad kering serta tulang belulang binatang.
Comments
Post a Comment