Boyan Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang
kayong) yang misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal
Kampung Boyan dan Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan,
Kabupaten Gresik di Jawa Timur. Terdapat versi lain yang menyatakan
bahawa istilah kayong itu berasal dari bahasa Melanau di bahagian
Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan, kisah ikan sebelah
dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi sedikit
pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah
tempat di Indonesia.
Pulau Boyan: Sejarah dan Fakta.
Boyan atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari'
dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri kerana golongan lelaki
keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam pulau ini
terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai
contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh.
Orang Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula
dikenali sebagai Boyan Kayong.
Penduduk Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau.
Kebanyakan dari mereka berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan
keturunan dan bermastautin. Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin
dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1988, bancian pada tahun 1947
menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa ke Sarawak meningkat,
khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti Kampung Jawa,
Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain.
Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa
Tengah manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian
Jawa Timur dan Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan
dipengaruhi oleh keadaan semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris
pada awal 1900an dan juga empayar jajahan Jepun pada awal 1940an.
Boyan Kayong: Di sebalik Legenda.
Legenda Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok
kedondong gergasi yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya
matahari dan menyusahkan penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan
membawa maksud 'ada sinar matahari' tetapi sejak pokok tersebut
tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan hasil tanaman tidak menjadi.
Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan untuk menebang pokok
kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil. Akhirnya, pokok
kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika tubuhnya
tumbang, sumpah bangkit akan bermula.
Walau bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah
ditebang dan penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan
tersebut. Entah tiba-tiba, apabila menjelang malam, pokok kedondong
bangkit semula selepas ditebang dan keesokan harinya, pokok itu ghaib.
Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas mati ditebang, penduduk di
situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka. Sumpah pokok tersebut
benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun bermula. Walaupun
sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata sumpah itu
masih berterusan sehingga ke hari ini.
Biasanya, keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut
sebelum mati. Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan
mencucuk jarum emas pada hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan
perkara ini tidak dapat dipastikan dan ia kedengaran tahyul, semua
kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT. Wallahu'alam.
Kisah Penglipur Lara Hantu Bangkit.
Kisah Satu
Hantu bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa
awal 90an, kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan
Kampung Gersik. Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka
bermukun dan menopeng. Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering
dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu malam, atuk pergi ke Kampung
Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan aktiviti bermukun itu selesai
pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Cik
Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk dikejar oleh hantu
bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya melepaskan
diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan Batu
dengan selamat.
Kisah Dua
Sambungan dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil
memekik-mekik apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu
bangkit akan menangkap dan memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak
cara untuk mengelakkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai
contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi jika perkara itu berlaku di
kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar mencari pokok pisang
berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit.
Kisah Tiga
Entah betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli
dapat dilihat menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan
mata yang suram. Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian
atau memulangkan semula apa yang kita pinjam dari orang yang
berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat kemungkinan kitalah orang
pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut apabila menjadi hantu
bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah pada sebelah malam
(selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik meminta
barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman
kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini
dikenali sebagai Hamlet.
Hantu Bangkit vs. Boyan Kayong
Kisah hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan
Boyan Kayong itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta
teknologi telah menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan
Kayong dilihat sebagai legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak,
kejadian hantu bangkit adalah kisah benar yang pernah terjadi di
Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri biasanya tahu tentang
perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan
berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku
terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula
pada era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching.
Mungkin amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan menjadi ingatan.
Comments
Post a Comment