TRAGEDI HITAM PEMBUNUHAN PENGHULU IMBAN AK MEDAN, 25 FEBRUARI 1972


BAGI mereka yang dangkal sejarah akan megah berkata bahawasanya komunis itu TIDAK MEMBUNUH penduduk tempatan! Itu kata mereka kerana golongan seperti ini sudah melupai atau sememangnya tidak mengetahui bahawa ada orang awam yang menjadi korban atas kegilaan komunis dahulu di Sarawak.  Antara yang menghiasi cerita ganas komunis ketika berleluasa di Sarawak dahulu adalah yang menimpa seorang ketua kaum Iban nun di Batang Oya, Sibu, Sarawak pada tahun 1972.

Sekitar tahun 1970an, ancaman komunis amat berleluasa di sekitar Ulu Oya dan ini menyebabkan penduduk di rumah panjang sekitar Ulu Oya dan Pakoh hidup di dalam ketakutan. Pada ketika itu komunis yang menggelar diri mereka, Tentera Oya Mukah Tatau (OMT) diceritakan telah berjaya lolos menyelamatkan diri setelah digempur oleh ATM di Kanowit.  Perkhabaran OMT yang berjaya melarikan diri ini cukup  meresahkan penduduk sehingga Tuai Rumah Ambik Jelanggai dan Sebindang seia sekata berjumpa dengan Ketua Kaum Iban pada masa itu iaitu Penghulu Imban Ak Medan.

Bertindak daripada aduan dua orang Tuai Rumah itu, Penghulu Imban merasakan adalah perlu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa akan kebimbangan anak-anak buahnya dan memohon perlindungan apa yang perlu sekiranya sesuatu hal yang buruk berlaku.  Saranan daripada KK itu telah disokong oleh beberapa orang lagi Tuai-tuai rumah di kawasan yang sekitar lantas mereka bersama-sama ke balai polis yang berhampiran untuk membuat laporan polis. 

Usai menerima laporan polis daripada Penghulu Imban, satu gerakan sulit telah diaktifkan oleh anggota polis bagi menjejak dan mengintip pergerakan Tentera OMT di Batang Oya.  Dengan kesepakatan dan bantuan maklumat daripada penduduk rumah-rumah panjang akhirnya pasukan keselamatan berjaya menangkao seorang anggota komunis OMT hidup-hidup lantas disoalsiasat. 

Berita penangkapan salah seorang rakan mereka di dalam OMT hasil daripada maklumat yang diberikan oleh Penghulu Imban dan anak-anak buahnya di Batang Oya menjadi satu dendam kesumat bagi komunis.  Mereka nekad untuk mencari Penghulu Imban walaupun hanya orang awam kerana individu seperti ini harus diajar kerana berani melawan komunis.

Akhirnya setelah beberapa minggu mengintip aktiviti perkampungan penduduk Iban di Rumah Balang Alau iaitu rumah panjang kepada Penghulu Imban, kira-kira jam 11 malam tanggal 25 Februari 1972, rumah panjang itu diceroboh oleh OMT.  Ketika penduduk rumah panjang sedang lena tidur dan apabila diserang sebegitu rupa telah mengakibat suasana yang aman dan sunyi menjadi riuh. 

Bayangkan dengan aksi kasar serta bersenjatakan senapang, penduduk kampung digertak dan siapa yang melawan akan ditangankan tanpa ada belas kasihan.  Kesemua penduduk Rumah Balang Alau dijadikan tebusan dan dihimpunkan di ruai dengan komunis siaga dengan senjata mereka. 

Ada satu ketika komunis sengaja bertanya kepada anak buah Penghulu Imban dimanakah ketua mereka.  Namun tiada sebarang jawapan daripada anak-anak buah Penghulu Imban pada waktu itu.  Dek kerana tidak mahu anak buahnya diapa-apakan akhirnya Penghulu Imban yang berusia 78 tahun pada waktu itu menampilkan dirinya sendiri biar dia tahu nyawanya sudah dihujung tanduk.

Kegilaan komunis yang lengkap bersenjata menyoalsiasat seorang warga emas bertubi-tubi di hadapan anak buahnya sendiri tiada taranya.  Namun walau ditampar, ditumbuk mahupun disepak sehingga berdarah mulut, Penghulu Imban langsung tidak mengeluarkan sebarang kata mahupun melawan. 

Diceritakan kerana terlalu marah salah seorang OMT telah mengacukan senapang pada jarak dekat ke arah beliau dan bersedia untuk menembak. Namun tidak semena-mena senapang itu pula gagal berfungsi.  OMT itu semakin menggila dan akhirnya kepala Penghulu Imban dihentak sehingga menyebabkan beliau pengsan.  Anak-anak buah beliau hanya mampu menangis melihat ketua mereka diperlakukan sedemikian rupa. 

Apabila Penghulu Imban itu pengsan baharulah salah seorang OMT mula memeriksa setiap anggota badan beliau.  Ditanggal dan dibuangnya segala tangkal yang ada di badan beliau kerana mereka sudah mengetahui bukan calang-calang individu yang mereka sedang berhadapan sekarang.  Jika tiada sesuatu ilmu manakan boleh picu senapang tidak berfungsi.  Setelah membuang segalanya tanpa rasa belas kasihan, Penghulu Imban ditembak betul-betul disaksikan anak-anak buah dan keluarganya di Rumah Balang Alau malam itu juga. 

Walau nyawa Penghulu Imban telah melayang ternyata OMT belum lagi berpuashati, awal pagi 26 Februari 1970 itu mereka mengarahkan agar jenazah Penghulu Imban dihumban ke sungai namun niat mereka ditentang keras oleh anak-anak buah Penghulu Imban.  Mereka seia sekata biar apa pun yang terjadi, jenazah ketua mereka akan mereka pertahankan daripada diperbuat sedemikian rupa. 

Mungkin sudah mengetahui bahawa perbuatan mereka mungkin sudah sampai ke telinga pihak berkuasa tanpa mahu memanjangkan lagi masa mereka di Rumah Balang Alau masa itu menyaksikan OMT terus kabur pada pagi itu juga.  Sebelum itu mereka turut meninggalkan pesanan untuk kesemua penduduk rumah panjang tidak ke mana-mana dan sesiapa yang engkar mereka akan tembak.  Itulah kaedah mereka untuk menakut-nakutkan penduduk. 

Tragedi hitam yang berlaku ke atas Penghulu Imban dikhabarkan kepada seluruh rumah panjang di Batang Oya menyaksikan masyarakat Iban pada waktu itu menggenggam tekad akan menghapuskan komunis bersama dengan pihak berkuasa. Peristiwa ini langsung tidak mampu menggoyahkan semangat agi idup agi ngelaban kaum Iban pada waktu itu. 

Di pihak berkuasa pula, OMT yang membuat onar dicari dan digempur sehingga ke lubang cacing.  Diceritakan OMT pada masa itu telah awal-awal lagi meninggalkan kawasan Batang Oya dan mereka berpecah menjadi kumpulan-kumpulan kecil menyertai rakan komunis mereka di kawasan lain.

Jenazah Mendiang Penghulu Imban disemadikan dengan adat pengkebumian Iban di Nanga Pakoh pada 26 Februari 1972.  Sekitar Ogos 1972, dengan nasihat daripada pasukan keselamatan seperti RASCOM, kesemua penghuni Rumah Balang Alau telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat iaitu di Nanga Sekuau.   Tanggal 26 Februari 2012 iaitu selepas hampir 42 tahun ditinggalkan di Nanga Pakoh akhirnya makam Mendiang Penghulu Imban telah dipindahkan ke Nanga Sekuau. 

Bagi mengenang jasanya yang berani menentang komunis walau hanya rakyat biasa sahaja, acara pengkebumian semula mendiang dilakukan dengan penuh penghormatan oleh anggota keselamatan negara pada masa itu.  Satu monumen turut didirikan bagi mengenang jasa mendiang malah sebuah sekolah turut diabadikan dengan nama mendiang iaitu SK Penghulu Imban.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. RIP. 

Lest We Forget!

-HB-

#kamekanakSarawahbah!
#HariMalaysia16September

Rujukan:

1. Borneo Post, 21st February 2012 by Conni Banji - The Night Communist Killed Hero of Ulu Oya
https://www.theborneopost.com/2012/02/21/the-night-communists-killed-hero-of-ulu-oya-was-killed-communists/
2. Ops Mai Pulai Niang Penghulu Imban Anak Medan
http://wanjamil.blogspot.com/2012/03/ops-mai-pulai.html

Comments

  1. ayo segera bergabung dengan saya di D3W4PK
    hanya dengan minimal deposit 10.000 kalian bisa menangkan uang jutaan rupiah
    ditunggu apa lagi ayo segera bergabung, dan di coba keberuntungannya
    untuk info lebih jelas silahkan di add Whatshapp : +8558778142
    terimakasih ya waktunya ^.^

    ReplyDelete

Post a Comment